SMFL Leasing (Malaysia) Sdn.Bhd.

NOTIS PERLINDUNGAN DATA PERIBADI

A. PENGENALAN

SMFL Leasing (Malaysia) Sdn Bhd (No. Syarikat 411449-X) dan SMFL Hire Purchase (Malaysia) Sdn Bhd (No. Syarikat 715689-U) (“SMFL” atau “kami”), menghormati dan adalah komited dalam melindungi privasi anda. Selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (“APDP”) yang mengawal pemprosesan Data Peribadi dalam transaksi komersial, kami teleh merumuskan Notis Perlindungan Data Peribadi ini (“Notis”) untuk menerangkan cara-cara kami mengumpul, menggunakan dan memproses Data Peribadi yang kami memperolehi tentang anda, sama ada secara langsung daripada anda atau menerusi pelbagai cara, termasuk tetapi tidak terhad kepada:-

(i) pengemukaan Data Peribadi anda kepada kami melalui laman web kami di http://www.smfl-global.com/malaysia/en/index.html (“Laman Web”) dan/atau e-mel;

(ii) melalui komunikasi kami dengan anda secara bertulis atau lisan, termasuk menerusi dokumen-dokumen yang dihantarkan kepada kami sebelum dan semasa urusan kontrak atau pra-kontrak kami dengan anda;

(iii) melalui komunikasi kami, interaksi dan perhubungan dengan anda menerusi cara lain, termasuk komunikasi dan interaksi di pameran, seminar, persidangan dan ceramah, sama ada yang dianjurkan oleh kami atau selainnya;

(iv) dari pihak ketiga yang berkaitan, seperti pembekal, biro kredit, agensi rujukan kredit, agensi pelaporan kredit, agensi penarafan, agensi yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (“BNM”) atau Persatuan Syarikat-Syarikat Sewa Beli Malaysia, syarikat insurans, biro pengantaraan kewangan, Persatuan Insurans Am Malaysia, Persatuan Insurans Hayat Malaysia, majikan dan penjamin anda, agensi pengawalseliaan; dan

(v) dari maklumat yang terdapat dalam domain awam.

Untuk tujuan Notis ini, “Data Peribadi” bermaksud maklumat yang berkenaan dengan traksaksi komersial yang berhubungan secara langsung atau tidak langsung dengan seorang individu yang ditakrifkan di bawah APDP, yang dikenal pasti atau boleh dikenal pasti daripada maklumat tersebut. Data Peribadi termasuk sebarang data peribadi sensitif.

Jika anda membaca notis ini bagi pihak syarikat, organisasi perniagaan atau entiti undang-undang yang mengekalkan hubungan komersial dengan kami, Notis ini adalah ditujukan kepada pengawai korporat individu (yang mungkin termasuk tetapi tidak terhad kepada pegawai yang diberi kuasa, pegawai yang diberi kuasa untuk menandatangan, setiausaha syarikat, pengarah, pemegang saham, penjamin atau penanggung syarikat, organisasi perniagaan atau entiti undang-undang) (secara kolektif, “Individu”) dan “anda” hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya untuk merangkumi Individu tersebut.

Data Peribadi yang dikumpulkan dan diproses oleh kami tentang anda adalah termasuk tetapi tidak terhad kepada yang berikut:-

(i) data umum: nama, jantina, tarikh lahir, kewarganegaraan, status perkahwinan, nombor kad pengenalan, nombor pasport, bangsa, asal etnik, butiran kesihatan / perubatan, latar belakang pekerjaan, maklumat dalam format audio dan/atau video (termasuk suara, rakaman suara, rakaman kamera litar tertutup (“CCTV”) dan rakaman sekuriti), imej (termasuk gambar foto), kepercayaan agama, latar belakang pendidikan, kemahiran bahasa, rekod gaji, penilaian prestasi, rujukan, laporan latar belakang, nombor pengenalan pekerja, rekod kehadiran, rekod latihan dan maklumat-maklumat peribadi lain;

(ii) data perhubungan: alamat surat-menyurat, nombor telefon, alamat e-mel, butiran hubungan kecemasan dan keluarga terdekat;

(iii) data kewangan: butiran akaun bank, nombor akaun bank, rekod cukai pendapatan, maklumat mengenai status kewangan kredit dan hasil pemeriksaan status kredit; dan

(iv) sebarang maklumat yang pada pendapat kami perlu atau sesuai dari masa ke semasa untuk transaksi komersial anda dengan kami.

B. TUJUAN PENGUMPULAN DAN PEMPROSESAN

Data Peribadi anda adalah dikumpulkan dan diproses oleh kami bagi tujuan-tujuan yang berkaitan secrara langsung atau tidak langsung dengan transaksi komersial anda dengan kami, termasuk tetapi tidak terhad kepada yang berikut:-

(i) untuk menilai, mengurus, mengekal dan memproses akaun anda dengan SMFL Malaysia;

(ii) untuk menguruskan hubungan kami dengan anda dan untuk berkomunikasi dengan anda sebagai pelanggan baru, semasa, bekas pelanggan atau bakal pelanggan kami;

(iii) untuk menangani pertanyaan dan/atau memberi balasan terhadap permintaan dan/atau komen anda;

(iv) untuk menjalankan pemeriksaan kredit dan menilai, mengesahkan dan memantau latar belakang, status kewangan dan status kredit anda;

(v) untuk memantau dan berkomunikasi dengan anda berkenaan dengan yuran-yuran dan bayaran-bayaran lain yang berkenaan, termasuk bayaran tertunggak dan lain-lain;

(vi) untuk menyediakan maklumat berterusan kepada anda berkenaan program dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh kami, sebagai contoh, dengan mengirimkan risalah, surat berita, majalah berkala, bahan-bahan promosi dan menghubungi anda mengenai program dan perkhidmatan yang akan datang yang anda mungkin berminat;

(vii) untuk mengurus, melibat dan melaksanakan transaksi komersial;

(viii) untuk memproses sebarang bayaran caj dan cukai yang berkaitan dengan transaksi komersial;

(ix) untuk menentukan kelayakan dan kesesuaian untuk pengambilan dan pemilihan, termasuk pengesahan rujukan dan kelayakan;

(x) untuk mengurus dan memproses faedah gaji dan pekerja (seperti perubatan, pencen dan faedah lain);

(xi) untuk mentadbir dan memproses tuntutan berkaitan pekerja;

(xii) untuk menubuhkan dan mentadbir keperluan latihan dan/atau pembangunan;

(xiii) untuk menjalankan penilaian prestasi dan gaji, bonus dan ulasan lain;

(xiv) untuk menentukan keperluan prestasi, memantau dan menangani isu prestasi kerja;

(xv) untuk merancang, melaksanakan dan memproses promosi, perancangan penggantian, penyusunan semula dan pemindahan;

(xvi) untuk mengumpul bukti mengenai potensi atau dugaan salah laku;

(xvii) untuk memproses peletakan jawatan, penamatan atau persaraan;

(xviii) untuk hubungan sekiranya berlaku kecemasan;

(xix) untuk memberikan rujukan bagi pihak anda apabila anda meminta kami berbuat demikian;

(xx) untuk memenuhi kebimbangan keselamatan, kesihatan dan keselamatan yang melibatkan anda sebagai pekerja kami;

(xxi) untuk perancangan perniagaan dalaman, pengurusan risiko, jualan silang, analisis pemasaran dan aktiviti pemprofilan;

(xxii) untuk tujuan penyelidikan termasuk tujuan analisis sejarah dan statistik;

(xxiii) untuk mamatuhi undang-undang, peraturan dan obligasi pengawalseliaan kerajaan yang berkenaan dengan perniagaan kami;

(xxiv) untuk mematuhi undang-undang dan peraturan berkenaan dan/atau perintah mahkamah;

(xxv) untuk mendapatkan maklum balas mengenai program dan/atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh kami;

(xxvi) untuk perancangan dan pelaksanaan sebarang cadangan korporat, seperti penjualan perniagaan, penjualan asset, penggabungan dan pengambilalihan;

(xxvii) untuk munguatkuasakan atau mempertahankan hak-hak undang-undang dan/atau mendapatkan nasihat undang-undang;

(xxviii) untuk pengurusan rekod dalaman kami atau tujuan pentadbiran; dan

(xxix) untuk sebarang tujuan-tujuan lain yang berkaitan dengan tujuan-tujuan yang dinyatakan di atas.

Data Peribadi yang diperolehi oleh kami mungkin diberikan oleh anda secara sukarela. Namun, sekiranya anda tidak memberikan Data Peribadi anda atau sebagai akibat penarikan balik persetujuan anda selaras dengan Bahagian E bawah, kami mungkin tidak dapat berkomunikasi dengan anda, proses akaun anda dan/atau menawarkan anda maklumat dan/atau perkhidmatan yang diperlukan.

C. PENDEDAHAN DAN PEMINDAHAN DI LUAR MALAYSIA

Kami berhak mendedahkan Data Peribadi anda kepada kategori-kategori pihak ketiga yang berikut (yang mungkin berada di dalam atau luar Malaysia) bagi mana-mana tujuan yang dinyatakan dalam Bahagian B di atas:-

(i) jabatan-jabatan dan agensi kerajaan, pihak berkuasa dan pengawal selia industri yang berkaitan, seperti Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, PUSPAKOM Sdn Bhd, Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (“KWSP”), Pertubuhan Keselamatan Sosial (“PERKESO”), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (“LHDN”) dan Jabatan Imigresen Malaysia (termasuk agensi-agensi yang dilantik oleh Jabatan Imigresen Malaysia);

(ii) jabatan-jabatan dan agensi kerajaan, pihak berkuasa dan pengawal selia industri negara asing yang berkaitan, seperti Jabatan Kedutaan negara asing tersebut;

(iii) mana-mana syarikat berkaitan dan sekutu kami, termasuk yang akan ditubuhkan pada masa hadapan serta rakan kongsi perniagaan kami;

(iv) pihak penjual ketiga, kontraktor, agensi dan pembekal perkhidmatan pihak ketiga yang dilantik oleh kami untuk menyediakan produk atau perkhidmatan berhubungan dengan perniagaan kami, seperti kontraktor, penganjur acara, agensi insurans, agensi penarikan balik, agensi kutipan hutang, fasilatator pemindahan dana elektronik, rakan kongsi dan syarikat percetakan;

(v) biro kredit, agensi rujukan kredit, agensi pelaporan kredit, agensi penarafan, agensi yang diluluskan oleh BNM atau Persatuan Syarikat-Syarikat Kewangan Malaysia atau Persatuan Syarikat-Syarikat Sewa Beli Malaysia;

(vi) pihak ketiga lain seperti calon majikan yang lain;

(vii) pihak kerajaan atau pihak berkuasa undang-undang untuk mematuhi peraturan undang-undang, termasuk sebarang keperluan berhubungan dengan pendedahan;

(viii) mana-mana pihak ketiga sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang atau perintah mahkamah;

(ix) juruaudit, penasihat undang-undang, perunding dan penasihat kewangan atau profesional yang lain kami; dan

(x) masyarakat awam, dengan menyiarkan imej, gambar, rakaman audio atau video untuk tujuan publisiti (tanpa sebarang bayaran atau pampasan).

Data Peribadi anda mungkin dipindahkan kepada lokasi di luar Malaysia dan disimpan dalam mana-mana server yang terletak di dalam atau luar Malaysia, untuk mana-mana tujuan yang dinyatakan dalam Bahagian B di atas.

Jika kami dihubungi oleh mana-mana organisasi atau institusi, termasuk bank dan peguambela dan peguamcara untuk mengesahkan pekerjaan anda dengan kami dan Data Peribadi anda untuk tujuan komersial, anda bersetuju bahawa kami boleh mengesahkan dan mendedahkan perkerjaan anda dan Data Peribadi anda.

D. HAK MEMINTA AKSES SERTA PEMBETULAN DAN MENGEHADKAN PEMPROSESAN

Anda berhak pada bila-bila masa mengemukakan kepada kami sebarang pertanyaan dan/atau aduan dan/atau permintaan untuk membuat pembetulan atau untuk mengehadkan pemprosesan Data Peribadi anda dengan menghubungi Pegawai Perlindungan Data Peribadi kami melalui e-mel di PDPO@smfl.com.my, telefon di +603-27100170 atau faks di +603-27100177 atau surat berdaftar yang dialamatkan depada Pegawai Perlindungan Data Peribadi di Suite 16D, Level 16, Vista Tower, The Intermark No.348, Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur, Malaysia. Secara umumnya dan tertakluk kepada pengeculian tertentu, anda juga berhak sebagai individu di bawah APDP, meminta akses kepada Data Peribadi anda, termasuk meminta salinan-salinan, di mana kami berhak mengenakan kepada anda pembayaran fi yang ditetapkan. Sebarang permintaan akses data dapat dibuat dengan menghubungi Pegawai Perlindungan Data Peribadi kami dengan sewajarnya.

E. PERSETUJUAN ANDA

Sekiranya anda tidak meluluskan atau menerima syarat-syarat penggunaan Data Peribadi anda oleh kami dalam mana-mana cara yang telah dinyatakan dalam Notis ini, anda boleh memaklumkan kami dengan menghubungi Pegawai Perlindungan Data Peribadi kami menerusi cara perhubungan seperti dinyatakan di atas. Sebagi contoh, sekiranya anda tidak ingin menerima maklumat daripada kami dan/atau tidak berhasrat untuk kami memasarkan program-program dan perkhidmatan kami kepada anda, anda berhak memilih keluar (“opt-out”) dengan menghubungi Pegawai Perlindungan Data Peribadi kami dengan sewajarnya.

Kami akan terus mengendalikan dan memproses Data Peribadi anda selaras dengan Notis ini melainkan kami dimaklumkan secara sebaliknya daripada anda.

Sekiranya kami tidak menerima sebarang pemberitahuan daripada anda dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh penghantaran Notis ini, kami akan menganggap bahawa anda telah setuju dengan pengumpulan, penggunaan dan pemprosesan Data Peribadi anda oleh kami selaras dengan Notis ini. Namun, anda berhak menarik balik persetujuan anda dengan memberikan notis bertulis kepada Pegawai Perlindungan Data Peribadi kami pada bila-bila masa. Walau bagaimanapun, sila ambil perhatian bahawa penarikan balik persetujuan tersebut yang diberikan, sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya, hanya akan berkuatkuasa selepas tamat tempoh masa yang munasabah untuk membolehkan pemprosesan penarikan balik tersebut. Penarikan balik tersebut hendaklah tertakluk kepada sebarang sekatan undang-undang dan/atau syarat-syarat kontrak yang berkenaan.

Setakat mana anda secara sukarela mendedahkan kepada kami sebarang maklumat-maklumat peribadi individu lain, sama ada yang termasuk dalam definisi Data Peribadi di atas, kami akan menganggap, tanpa keperluan untuk mendapatkan pengesahan, bahawa anda telah memperoleh persetujuan individu berkenaan untuk pendedahan dan pemprosesan maklumat-maklumat tersebut selaras dengan syarat-syarat Notis ini.

F. KERAHSIAAN DAN KESELAMATAN DATA PERIBADI ANDA

Kami adalah komited dalam mengekalkan keselamatan Data Peribadi anda. Kami telah mengambil langkah-langkah dan pengukuran yang munasabah untuk menghalang sebarang akses, pendedahan yang tidak dibenarkan, kerugian dan kecurian data dalam persekitaran fizikal dan elektronik.

Kami telah mengambil langkah-langkah keselamatan dan teknologi yang munasabah, sebagai perlindungan kata laluan, penyulitan, kunci fizikal dan lain-lainnya, untuk memastikan kerahsiaan dan keselamatan Data Peribadi anda. Kami juga telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk menyediakan perkerja-pekerja kami yang mengendalikan dan memproses Data Peribadi anda dengan program-program latihan dan kesedaran untuk memastikan bahawa mereka menyedari dengan sepenuhnya tanggungjawab mereka berkaitan dengan perlindungan data. Di mana kami telah memilih untuk menggunakan pihak ketiga untuk menguruskan sistem dan data kami atau kami memberikan data tersebut kepada pihak ketiga untuk diproses, pihak ketiga tersebut adalah tertakluk oleh kami untuk mematuhi pengusahaan kontraktual, termasuk memberi jaminan berkenaan dengan langkah-langkah keselamatan teknikal dan organisasi untuk mengawal pemprosesan Data Peribadi tersebut dengan sewajarnya.

Penghantaran Data Peribadi melalui internet adalah tidak selamat secara sepenuhnya. Walaupun kami akan melakukan yang terbaik untuk melindungi Data Peribadi anda, kami tidak dapat menjamin keselamatan Data Peribadi anda yang dihantarkan melalui Laman Web kami atau mana-mana saluran elektronik lain. Sebarang risiko penghantaran dan perpindahan maklumat adalah ditanggung oleh anda. Sebaik sehaja kami menerima maklumat anda, kami akan menggunakan prosedur–prosedur yang ketat dan ciri-ciri keselamatan untuk cuba menghalang dan mengelakkan sebarang akses yang tidak dibenarkan.

G. SEMAKAN, PINDAAN DAN KONFLIK

Kami berhak menyemak, mengemas kini, mengubah suai atau meminda terma Notis ini pada bila-bila masa tanpa memberi notis terlebih dahulu kepada anda, dengan meletakkan versi terkini di Laman Web kami. Dengan meneruskan penggunaaan Laman Web kami dan meneruskan hubungan anda dengan kami tanpa sebarang perbantahan bertulis berikutan penyemakan, pengubahsuaian atau pemindaan Notis ini, anda dianggap menerima sebarang penyemakan, pengubahsuaian atau pemindaan tersebut. Anda dinasihatkan supaya menyemak Notis ini secara tetap dari semasa ke semasa.

Notis ini adalah dikeluarkan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Sekiranya terdapat percanggahan antara versi-versi Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia, versi Bahasa Inggeris akan mengatasi versi Bahasa Malaysia tersebut.

H. ALAMAT PROTOKOL INTERNET (IP), PENGGUNAAN COOKIES DAN PAUTAN LUAR

Kami menggunakan cookies di Laman Web ini. Cookies adalah pegecam unik yang diletakkan pada komputer anda atau peranti lain oleh pelayan web, yang mengandungi maklumat yang kemudiannya dapat dibaca oleh pelayan yang mengeluarkan cookie kepada anda. Maklumat yang dikumpul (termasuk tetapi tidak terhad kepada alamat IP anda, nama domain, perisian penyemak imbas, jenis dan konfigurasi penyemak imbas anda, tetapan bahasa, geo-lokasi, sistem pengendalian, rujukan laman web, halaman dan kandungan dan jangka masa lawatan), yang akan digunakan untuk menyusun statistik agregat mengenai cara pelawat kami mencapai dan mengakses Laman Web kami untuk membantu kami memahami bagaimana kami dapat meningkatkan pengalaman anda. Data sedemikian hanya akan digunakan untuk tujuan menambahbaik dan mengoptimum Laman Web kami. Cookie juga membolehkan Laman Web kami untuk mengingati anda dan keutamaan anda dan menyesuaikan Laman Web untuk keperluan anda dengan sewajarnya. Kebanyakan web-browser biasanya didirikan untuk menerima cookies. Jika anda tidak mahu menerima cookies, anda boleh mematikan fungsi ini dalam tetapan penyemak imbas anda. Walau bagaimanapun, dengan berbuat demikian, anda mungkin tidak dapat menikmati dengan sepenuhnya manfaat Laman Web kami dan ciri-ciri tertentu mungkin tidak akan berada dalam urutan kerja yang betul.

Laman Web tersebut mungkin mengandungi pautan ke laman web dan sumber luar yang dikendalikan oleh pihak ketiga. Laman web tersebut dan sumber luaran mungkin tidak beroperasi di bawah terma dan syarat Notis ini. Anda dinasihatkan untuk memeriksa terma dan syarat privasi laman web dan sumber luaran untuk memahami dasar mereka mengenai pengumpulan, penggunaan dan pemprosesan Data Peribadi anda.

Dikemaskini pada: 17 November 2017

Pagetop